Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Wednesday, October 29, 2008 - 0 comments

Menilik kelemahan sendiri

"Jika engkau mahu menyebut cacat cela orang lain maka kenangilah terlebih dahulu
cacat cela dirimu sendiri" (dirawayatkan oleh ar-Rafi'I)
HURAIAN HADIS
Setiap manusia ada titik-titik kelemahan dan cacat cela yang tersendiri, tidak ada gading yang tidak retak, kerana itu untuk manjadi seorang Muslim yang adil, maka tidak seharusnya ia membilang cacat cela dan kelemahan orang lain dengan melupakan cacat cela dirinya sendiri.

Dalam sebarang pertelingkahan dan perbalahan,manusia selalu condong kepada memperbesar-besarkan cacat cela dan kesalahan-kesalahan orang lain dan meletakkan dirinya sebagai seorang yang selalu bersih, baik, tidak salah dan jujur, demikian juga dalam kebiasaan mengumpat dan mengeji, manusia selalu lupa kepada cacat cela dan kelemahan-kelemahan diri sendiri.

Rasullullah SAW memberi satu garisan panduan yang adil apabila kita bernafsu untuk mengkritik, mengumpat dan menyalah-nyalahkan orang lain, maka hendaklah lebih dahulu kita mengambil cermin melihat cacat cela muka dan diri sendiri
Menurut ahli jiwa kecenderungan mengumpat dan menyebut cacat cela orang lain itu adalah didorong oleh perasaan dendam kesumat, perasaan benci dan hasad dengki yang terpendam sekian lama didalam jiwa seseorang. Perasaan tersebut mingkin tercetus oleh perasaan rendah diri.

Walau bagaimanapun hadis ini tidaklah bertujuan melarang orang membuat kritikan yang membina dan jujur terhadap mana-mana tindakan yang dianggap menyinggung kepentingan umum, melanggar prinsip-prinsip agama dan keilmuan yang benar, kerana kritikan seperti itu menjadi kewajipan setiap Muslim yang tidak dapat menghapus penyelewengan itu dengan kuat kuasanya, apa yang dilarang disini ialah kritikan dan serangan yang menyentuh kehormatan, maruah dan cacat cela yang semula jadi yang terdapat pada seseorang.

Wednesday, October 15, 2008 - 0 comments

Tiga golongan Ahli Neraka

 
(Dari sabda Rasulullah s. a. w.)

Dari Ali bin Abi Talib: "Aku mendengar Rasulullah s. a. w. bersabda: "Tiga golongan dari umatku akan mengisi neraka jahannam selama umur dunia tujuh kali, mereka ialah :
a- Orang yang gemuk tetapi kurus.
b- Orang yang berpakaian tetapi telanjang.
c- Orang yang alim tetapi jahil.

Orang yang gemuk kurus ialah mereka yang gemuk tubuhnya tetapi kurus ibadatnya. Orang berpakaian telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat agama (seperti berpakaian nipis hingga terbayang tubuhnya atau terlalu ketat). Orang alim jahil ialah ulama yang menghalalkan yang haram kerana kepentingan duniawi.


- 0 comments

Siapakah golongan yang bertakwa

KITA masih berada dalam bulan syawal maka marilah kita sama-sama bermuhasabah sejauh mana kita telah melaksanakan ibadat puasa sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah S.W.T.

Puasa Ramadhan tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk melahirkan golongan yang bertaqwa kepada Allah S.W.T. sebagaimana Allah berfirman yang bermaksud:

"Mudah-mudahan kamu bertaqwa." (Surah al-Baqarah: 183)

Kita akan cuba memahami apakah makna dan ciri taqwa sebenarnya. Allah berfirman yang bermaksud:

"Alif Lam Mim. Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya, Ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa." (Surah al-Baqarah: 2)

Ayat ini menjelaskan tentang al-Quran menjadi petunjuk kepada orang yang bertaqwa. Siapakah orang yang bertaqwa? Dia dijelaskan dalam ayat berikutnya yang bermaksud:

"Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

"Dan orang-orang yang beriman kepada kitab al-Quran yang diturunkan kepadamu (wahai Muhamad) dan kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu serta mereka yakin akan hari akhirat.

"Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah yang berjaya." (Surah al-Baqarah: 2-6)

Melihat kepada ayat-ayat ini jelas menunjukkan bahawa taqwa itu dapat dilahirkan dari keimanan kepada yang ghaib.

Orang bukan Islam tidak nampak apa yang ghaib seperti malaikat, syurga, neraka, pahala dan dosa serta hari akhirat.

Dalam pada itu orang yang bukan Islam semacam percaya juga dengan perkara ghaib. Contohnya orang hindu membakar mayat penganut mereka supaya seolah-olah mereka tidak lagi akan dibakar dalam api neraka.

Beriman dengan perkara yang ghaib merupakan suatu keistimewaan kepada orang Islam. Perkara ghaib berkenaan diimani bukan melalui penglihatan mereka tetapi melalui apa yang diceritakan dalam al-Quran dan melalui Rasululullah s.a.w.

Bagaimanapun amat sedikit orang yang boleh mencapai darjat ketaqwaan. Kita yakin puasa, sembahyang dengan menunaikannya mengikut apa yang diperintahkan tetapi sejauhmana ibadat yang dilakukan itu memenuhi tuntutan ketaqwaan kepada Allah, kita masih tidak mengetahuinya.

Ini kerana pahala dan dosa, kita tidak dapat melihatnya. Imbuhan atau elaun semua orang nampak.

Oleh itu ada orang yang sanggup bekerja kuat untuk mendapatkan elaun berkenaan kerana mereka nampak hasilnya.

Bagaimanapun oleh kerana pahala tidak nampak, ada juga hamba Allah yang tidak gemar bersolat di saf depan ketika di masjid dan surau sedangkan banyak pahala diperolehi jika bersolat di saf berkenaan.

Jika mengetahui banyak pahala diperolehi mereka yang bersolat jamaah, menjadi imam dan bilal, sudah pasti masjid dan surau kita tidak cukup luas untuk menampung kehadiran mereka setiap waktu solat.

Oleh itu cerita yang berkait dengan beriman kepada yang ghaib ini sukar dimengertikan oleh orang-orang yang tidak beriman kepada Allah.

Justeru sukar untuk mencari orang yakin dengan perkara yang ghaib. Kita diceritakan tentang bagaimana Abu Bakar as-Siddiq percaya dengan cerita Isra’ dan Mikraj yang disampaikan kepadanya oleh Rasulullah s.a.w.

Katanya, jika Muhamad menceritakan lebih dari itu beliau tetap mempercayainya kerana Muhamad adalah seorang yang benar.

Oleh itu ada orang bukan Islam cuba merakamkan apa yang berlaku dalam kubur apabila seseorang itu ditanam dalam liang lahad selepas meninggal dunia untuk menyiasat, benar atau tidak malaikat akan menyoal penghuni kubur.

Mereka tidak akan berupaya mendapatkan suara soalan malaikat kepada penghuni berkenaan.

Samalah juga dengan usaha seorang itu merakamkan apa yang dimimpikan seseorang ketika tidur.

Oleh itu orang bukan Islam sukar untuk mempercayai perkara ghaib. Kepercayaan kita kepada perkara ghaib termasuk syurga, neraka, dosa dan pahala mendorong kita untuk melakukan perkara yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Kita meninggalkan semua larangan agama untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T. di samping takut kepada azabnya yang amat pedih lalu beriman kepada yang ghaib.

Kemudian orang yang beriman kepada yang ghaib itu sanggup menunaikan sembahyang. Solat jika dilihat dari segi adat dan zahirnya sahaja, orang Islam hanya dapat merasakan sejuk air sembahyang, basah pakaian dan mengambil masa tertentu untuk menunaikannya.

Kenapa mereka sembahyang juga? Ini kerana dengan solat mereka dapat menunaikan perintah Allah. Ketika mengerjakan sembahyang mereka mengharapkan keredhaan Allah dan melakukannya dengan sempurna.

Sandaran amalan ibadah kepada Allah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat Allah dan sekiranya tidak demikian dan memang kamu tidak dapat melihat-Nya maka kamu yakin bahawa Allah melihat kamu."

Jika kita yakin Allah melihat kita sudah pasti kita melakukan sembahyang tidak dengan sesuka hati kita.

Allah menyatakan bahawa orang yang bertaqwa juga menginfaqkan rezeki yag dikurniakan-Nya. Bermakna sebanyak manapun milik kita, milikan itu adalah hak kepunyaan Allah.

Oleh itu rezeki yang dikurniakan itu perlu dikira untuk zakat termasuk zakat perniagaan, pendapatan, fitrah, pertanian dan lain-lain.

Saya dapati kebanyakan orang yang lebih mudah mengeluarkan zakat ialah golongan petani. Mereka mengeluarkan 10 peratus dari hasil tuaian padi tanpa mengira untung atau rugi, cukup atau tidak hasil tuaian untuk menyara hidup mereka.

Bagaimanapun di kalangan orang yang berpendapatan tinggi gemar mengira untung rugi dan kos-kos tertentu sebelum mengeluarkan zakat. Sekiranya kita menggunakan harta benda yang dikurniakan Allah itu untuk tujuan kebaikan termasuk mengeluarkan zakat, memberi nafkah kepada anak isteri dan bersedekah maka amalan sedemikian menepati ciri-ciri orang yang bertaqwa kepada Allah S.W.T.

Orang yang bertaqwa juga ialah orang yang beriman dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhamad s.a.w.

Al-Quran yang diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. itu terkandung panduan dalam semua aspek kehidupan termasuk aqidah, syariah, akhlak, ekonomi, sosial dan politik.

Inilah ciri-ciri amalan orang yang bertaqwa. Rasulullah s.a.w. pernah ditanya oleh seorang sahabatnya.

"Apakah amalan yang paling afdhal?" Rasulullah s.a.w. menjawab yang bermaksud:

"Amalan yang paling afhdal ialah beriman kepada Allah dan berjihad menegakkan agama Allah."

Ia senang disebut tetapi untuk mempraktikkannya memerlukan kepada ketabahan dan ketaqwaan yang tinggi.

Paling mudah sebagai penjelasan ialah bagaimana keimanan dan ketaqwaan itu boleh dilaksanakan untuk maslahah umum seperti mengadakan tempat wudhuk kaum muslimat yang terlindung dari pandangan umum.

Apakah imam, bilal, siak atau arkitek yang merangka pelan pembinaan masjid melaksanakan kewajipan mewujudkan tempat wudhuk sedemikian?

Ada setengah masjid tidak menghayati ciri keimanan dan sifat-sifat taqwa apabila mendedahkan tempat wudhuk perempuan untuk tuntunan orang ramai.

Walaupun soal aurat merupakan soal peribadi tetapi ada kalanya ia menjadi kewajipan pihak berwajib menjaganya seperti pihak berkuasa sendiri. Bagaimana aurat muslimat dapat dijaga jika tempat wudhuk perempuan dipertuntunkan kepada khalayak ramai?

Oleh itu arkitek yang mencipta pelan tempat mengambil wudhuk perlu mengerti bagaiamana caranya beriman kepada Allah.

Mereka juga yakin dengan hari akhirat. Yakin dengan hari itu bermakna kita tidak berani meletakkan diri dalam kumpulan yang menerima azab dari Allah S.W.T.

Jika kita membaca bab azab, secebis api neraka jika jatuh di atas bukit nescaya ia akan hancur luluh.

Kita membaca bab azab kubur pula, bagaimana seekor ular besar yang kepalanya botak mematuk penghuni kubur yang setitik bisanya boleh menghancurkan dunia dan isinya.

Oleh itu Imam Syafie bermunajat:

"Aku tidak layak menjadi penghuni syurga-Mu, tetapi aku juga tidak mampu menanggung azab neraka-Mu yang amat pedih."

Justeru tidak ada peluang untuk sesiapapun, berada di tempat perantaraan antara syurga dan neraka di hari akhirat untuk tidak menghadapi keadaan itu. Begitu juga tiada kompromi antara Islam dan bukan Islam dari segi prinsipnya.

Ada kalanya seseorang itu dikenali sebagai orang Islam tetapi perangai seperti bukan Islam. Oleh itu keyakinan kepada hari akhirat akan menjadikan kita golongan bertaqwa dan beriman kepada Allah S.W.T.

Jika di dunia kita tidak mahu di penjara, ditukar jawatan atau diturunkan pangkat begitu juga di akhirat kita tidak mahu menjadi muflis sehingga kita dihumbankan ke dalam neraka.

Apabila ditanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang siapakah golongan muflis itu. Rasulullah menyatakan bahawa muflis itu ialah seseorang yang datang bertemu Allah dalam keadaan dosa, hutang, fitnah dan maksiat kepada orang lalu orang-orang berkenaan menuntut semuanya dari hamba itu.

Apabila tidak berupaya menjelaskan segala tuntutan orang berkenaan si hamba itu akan menanggung dosa mereka sebagai balasannya.

Apabila manusia yakin dengan hari akhirat sudah pasti dia akan menjadi baik. Manusia takut membuat dosa kerana takut kemurkaan Allah di hari akhirat kelak sebagaimana di dunia ini orang takut bawa kenderaan laju kerana takut disaman polis.

Kita tidak mahu rugi di akhirat. Oleh itu kita mesti jaga diri kita dari menerima kerugian di hari akhirat.

Orang sedemikian adalah orang yang mendapat hidayah daripada Tuhannya dan orang-orang yang berjaya. Berjaya di dunia hingga sanggup meninggalkan segala larangan Allah dan melakukan apa juga arahan Allah dan Rasul-Nya.

 

- 0 comments

Kisah 5 Perkara Aneh

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahwa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahwa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahwa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahwa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

 

- 0 comments

Antara Sabar dan Mengeluh

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."

Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?"

Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"

Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?"

Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."

Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi,:

" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil keksaihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,:

" Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."

Dan sabdanya pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)

Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

 

Powered By Blogger