الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1- 5 surah al-Fiil :
ألم تركيف فعل ربك بأصحــب الفيل ألم يجعل كيدهم فى تضليل وأرسل عليهم طيرا أبابيل ترميهم بحجارة من سجيل فجعلهم كعصف مأكول
Maksudnya : Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? . Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpuak-puak; .Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras; .Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.
Kita mula mahu meninggalkan bulan Sofar bagi sama-sama menyambut kedatangan bulan Rabiul Awwal yang telah mencatatkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah umat Islam terutama sekali saban tahun apabila tibanya bulan Rabiul Awwal maka seluruh umat Islam sedunia sama-sama mengingati tarikh kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Kelahiran dan kebangkitan nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi lagi rasul akhir zaman telah memecahkan benteng pemisah antara jurang bangsa, budaya, negara kepada umat yang berpegang kepada aqidah yang satu dengan mengadap ke arah qiblat yang satu serta mengamalkan ajaran dan sistem yang ditunjukkan oleh al-Quran yang satu. Tidak timbul dalam hati mereka yang beriman dari kalangan bukan berbangsa arab tentang wajarkah mereka menerima Islam yang di bawa oleh seorang nabi yang berbangsa arab dan tidak timbul perasaan ragu-ragu tentang sistem pemerintahan, ibadat, ekonomi, kemasyarakatan yang ada dalam al-Quran yang berbahasa arab samada sesuai untuk dilaksanakan di negara dan oleh bangsa selain arab. Kekuatan aqidah terhadap Allah dan rasulNya telah melenyapkan segala perasaan ragu-ragu atau was-was tentang keadilan dan kemurnian system Islam yang bukan sahaja berkaitan dengan hubungan antara manusia dengan Allah, manusia dengan dirinya sendiri malah meliputi hubungan antara manusia sesama manusia samada seagama atau berlainan agama.
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Ketika mengingati tahun kelahiran nabi Muhammad s.a.w maka ia tidak dapat dipisahkan daripada menyebut tentang peristiwa serangan tentera bergajah pimpinan Abrahah dari Yaman ke atas Kota Mekah bagi menghancurkan Ka’abah. Perbuatan dan tindakan Abrahah ini akibat daripada perasaan dengki terhadap sambutan yang telah diberikan kepada Kota Mekah dengan adanya Ka’abah sehingga tidak mampu diberi saingan oleh kerajaan Abrahah walau pun telah membuat pelbagai pembangunan bagi menarik minat ramai. Oleh itu kedudukan Ka’abah mengikut pandangan Abrahah mesti dirobohkan segera bagi memastikan manusia mengalih tumpuan ke Yaman pula. Walau pun ada yang
Tindakan tentera Abrahah adalah sama dengan tindakan Amerika yang telah dihasut oleh yahudi dalam menentang umat Islam pada hari ini. Akibat bimbang umat Islam akan kembali kepada ajaran Islam yang menyeluruh yang boleh membawa kepada kurang bergantungnya umat Islam kepada system ciptaan kuffar terutama yahudi serta betapa tergugatnya kedudukan negara haram Israel jika umat Islam kembali bersatu atas dasar iman dan taqwa menentangnya maka suatu usaha yang rapi berbentuk serangan saraf dan fizikal telah dilancarkan secara besar-besaran agar negara umat Islam dapat dijajah kembali. Kuffar telah melihat hasil penjajahan sebelum ini telah berjaya memecah belahkan umat Islam serta menjauhkan mereka daripada ajaran Islam yang sebenar. Kuffar berjaya mengaut keuntungan hasil perpecahan umat Islam dengan mengaut hasil bumi yang ada serta hasil daripada penggunaan kepada system ciptaan mereka seperti kapitalis, sosialis dan komunis. Dendam dan dengki kuffar terutama yahudi terhadap Islam terus membara dan bila ia meletus maka ramailah rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman.
Firman Allah dalam ayat 109 surah al-Baqarah:
ود كثير من أهل الكتــب لو يردونكم من بعد إيمــنكم كفارا حسدا من عند أنفسهم من بعد ماتبين لهم الحق فاعفوا واصفحوا حتى يأتي الله بأمره إن الله على كل شيء قدير
Maksudnya : Ramai di kalangan Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana perasaan dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, kamu maafkanlah dan biarkanlah mereka, sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Menyedari tentang bahaya dan ruginya perpecahan di kalangan umat Islam yang menyebabkan kita terus dijajah maka kita wajib kembali bersatu. Umat Islam cukup merana dan menderita akibat penjajahan baru ke atas negara umat Islam dengan alasan mahu membasmi keganasan. Kuffar yang diketuai oleh yahudi telah berusaha meranapkan negara umat Islam yang berpengalaman dengan peperangan seperti Afghanistan dan terbaru Iraq disamping amaran keras terhadap Syria dan Iran serta menghancurkan gerakan Islam yang mempunyai kelengkapan dan latihan senjata bagi melumpuhkan golongan mujahidin yang selama ini banyak membantu saudara agama yang tertindas seperti di Bosnia dan Kosova. Kita jangan ingat bahawa setelah berjaya menghancurkan umat Islam yang berpengalaman dalam penggunaan senjata maka kuffar akan berhenti daripada memerangi umat Islam. Ini adalah kerana api permusuhan kuffar terhadap umat Islam tidak pernah padam sehinggalah kita sujud di bawah kaki mereka. Sebagai suatu umat yang bermaruah dan pilihan maka kita tidak sama sekali tunduk kepada kehendak kuffar sebaliknya kita mesti mengorak langkah dengan seberapa segera untuk kembali bersatu di atas dasar iman dan Islam. Banyak laungan agar umat Islam bersatu tetapi tidak jelas tujuan dan matlamatnya. Adakah umat Islam boleh mengatakan bahawa mereka mesti bersatu atas dasar kebangsaan yang sempit dan menyesatkan. Adakah umat Islam boleh melaungkan kalimah bersatu atas dasar sekularisme yang sesat. Adakah boleh bersatu atas dua dasar yang berlawanan iaitu iman dan kufur. Adakah boleh bersatu atas dua dasar yang bertentangan iaitu Islam dan jahiliah. Jika kita mahu bersatu maka mesti memilih salah satu jalan sahaja iaitu iman dengan menolak kufur, memilih Islam dengan menolak jahiliah serta bersatu kerana Allah bukan keranamu
Firman Allah dalam ayat 4 surah as-Sof :
إن الله يحب الذين يقــتلون فى سبيله صفا كأنهم بنيــن مرصوص
Maksudnya : Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Yakinlah kita bahawa dengan Islam sahaja maka kita mampu meraih kemuliaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jadikanlah diri kita sebagai pejuang agama Allah bukan penentang Islam. Ingatlah bahawa kita bukan orang pertama dan terakhir yang memperjuangkan Islam sebaliknya kita ialah rantaian kepada perjuangan umat terdahulu dan akan datang. Ingatlah juga bahawa kita bukan orang yang memulakan perjuangan Islam sebaliknya kita adalah penerus dan penyambung kepada tugas yang telah dilakukan oleh para nabi dan rasul serta pejuang Islam sebelum ini. Tiada erti letih dalam berjuang jika kita yakin bahawa perjuangan Islam adalah suci sebaliknya kuffar dan golongan munafik lebih letih menentang pejuang Islam kerana mereka berjuang untuk mendapat habuan dunia berbentuk takhta dan harta.
Ingatlah firman Allah ayat 14 surah as-Sof :
يــأيهاالذين ءامنوا كونوا أنصار الله كما قال عيسى ابن مريم للحواريـــن من أنصارى إلى الله قال الحواريون نحن أنصار الله فـئامنت طائفة من بني إسرائيل وكفرت طائفة فأيدنا الذين ءامنوا على عدوهم فأصبحوا ظــهرين
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika dia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
(Khutbah Jumaat)
0 comments:
Post a Comment