Showing posts with label Sirah. Show all posts
Showing posts with label Sirah. Show all posts
Wednesday, October 15, 2008 - 0 comments

Bersatu menghadapi tentera bergajah moden

 Assalamualaikum

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ

فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  1- 5 surah al-Fiil :

ألم تركيف فعل ربك بأصحــب الفيل ألم يجعل كيدهم فى تضليل وأرسل عليهم طيرا أبابيل ترميهم بحجارة من سجيل فجعلهم كعصف مأكول

Maksudnya : Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? . Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpuak-puak; .Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras; .Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.

            Kita mula mahu meninggalkan bulan Sofar bagi sama-sama menyambut kedatangan bulan Rabiul Awwal yang telah mencatatkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah umat Islam terutama sekali saban tahun apabila tibanya bulan Rabiul Awwal maka seluruh umat Islam sedunia sama-sama mengingati tarikh kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Kelahiran dan kebangkitan nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi lagi rasul akhir zaman telah memecahkan benteng pemisah antara jurang bangsa, budaya, negara kepada umat yang berpegang kepada aqidah yang satu dengan mengadap ke arah qiblat yang satu serta mengamalkan ajaran dan sistem yang ditunjukkan oleh al-Quran yang satu. Tidak timbul dalam hati mereka yang beriman dari kalangan bukan berbangsa arab tentang wajarkah mereka menerima Islam yang di bawa oleh seorang nabi yang berbangsa arab dan tidak timbul perasaan ragu-ragu tentang sistem pemerintahan, ibadat, ekonomi, kemasyarakatan yang ada dalam al-Quran yang berbahasa arab samada sesuai untuk dilaksanakan di negara dan oleh bangsa selain arab. Kekuatan aqidah terhadap Allah dan rasulNya telah melenyapkan segala perasaan ragu-ragu atau was-was tentang keadilan dan kemurnian system Islam yang bukan sahaja berkaitan dengan hubungan antara manusia dengan Allah, manusia dengan dirinya sendiri malah meliputi hubungan antara manusia sesama manusia samada seagama atau berlainan agama.

 

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

            Ketika mengingati tahun kelahiran nabi Muhammad s.a.w maka ia tidak dapat dipisahkan daripada menyebut tentang peristiwa serangan tentera bergajah pimpinan Abrahah dari Yaman ke atas Kota Mekah bagi menghancurkan Ka’abah. Perbuatan dan tindakan Abrahah ini akibat daripada perasaan dengki terhadap sambutan yang telah diberikan kepada Kota Mekah dengan adanya Ka’abah sehingga tidak mampu diberi saingan oleh kerajaan Abrahah walau pun telah membuat pelbagai pembangunan bagi menarik minat ramai. Oleh itu kedudukan Ka’abah mengikut pandangan Abrahah mesti dirobohkan segera bagi memastikan manusia mengalih tumpuan ke Yaman pula. Walau pun ada yang cuba menghalang tetapi telah dikalahkan oleh Abrahah yang mempunyai angkatan tentera yang kuat. Apabila tentera Abrahah sudah tiba berhampiran dengan Kota Mekah lalu datuk nabi iaitu Abdul Muttalib datang bertemu dengan Abrahah agar diserahkan 200 ekor untanya bukan berunding agar Abrahah tidak meruntuhkan Ka’abah. Ketika menjawab pertanyaan Abrahah lalu Abdul Muttalib mengatakan bahawa dia hanya meminta unta kerana ia adalah miliknya sedangkan Ka’abah mempunyai tuan yang akan menjaganya iaitu Allah. Selepas itu Abdul Muttalib meminta agar kaumnya berlindung di sebalik bukit agar tidak menjadi mangsa kepada tentera Abrahah manakala dia bersama beberapa orang lagi telah menuju ke Ka’abah dan memegang gelang pintunya sambil berdoa memohon pertolongan daripada Allah. Akhirnya Allah telah menghantar tentera berupa burung-burung kecil yang melontar batu ke atas tentera bergajah Abrahah sehingga hancur kulit-kulit mereka dan mereka mati dalam penuh kehinaan.

            Tindakan tentera Abrahah adalah sama dengan tindakan Amerika yang telah dihasut oleh yahudi dalam menentang umat Islam pada hari ini. Akibat bimbang umat Islam akan kembali kepada ajaran Islam yang menyeluruh yang boleh membawa kepada kurang bergantungnya umat Islam kepada system ciptaan kuffar terutama yahudi serta betapa tergugatnya kedudukan negara haram Israel jika umat Islam kembali bersatu atas dasar iman dan taqwa menentangnya maka suatu usaha yang rapi berbentuk serangan saraf dan fizikal telah dilancarkan secara besar-besaran agar negara umat Islam dapat dijajah kembali. Kuffar telah melihat hasil penjajahan sebelum ini telah berjaya memecah belahkan umat Islam serta menjauhkan mereka daripada ajaran Islam yang sebenar. Kuffar berjaya mengaut keuntungan hasil perpecahan umat Islam dengan mengaut hasil bumi yang ada serta hasil daripada penggunaan kepada system ciptaan mereka seperti kapitalis, sosialis dan komunis. Dendam dan dengki kuffar terutama yahudi terhadap Islam terus membara dan bila ia meletus maka ramailah rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman.

            Firman Allah dalam ayat 109 surah al-Baqarah:

ود كثير من أهل الكتــب لو يردونكم من بعد إيمــنكم كفارا حسدا من عند أنفسهم من بعد ماتبين لهم الحق فاعفوا واصفحوا حتى يأتي الله بأمره إن الله على كل شيء قدير

Maksudnya :  Ramai di kalangan Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana perasaan dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, kamu maafkanlah dan biarkanlah mereka, sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Menyedari tentang bahaya dan ruginya perpecahan di kalangan umat Islam yang menyebabkan kita terus dijajah maka kita wajib kembali bersatu. Umat Islam cukup merana dan menderita akibat penjajahan baru ke atas negara umat Islam dengan alasan mahu membasmi keganasan. Kuffar yang diketuai oleh yahudi telah berusaha meranapkan negara umat Islam yang berpengalaman dengan peperangan seperti Afghanistan dan terbaru Iraq disamping amaran keras terhadap Syria dan Iran serta menghancurkan gerakan Islam yang mempunyai kelengkapan dan latihan senjata bagi melumpuhkan golongan mujahidin yang selama ini banyak membantu saudara agama yang tertindas seperti di Bosnia dan Kosova. Kita jangan ingat bahawa setelah berjaya menghancurkan umat Islam yang berpengalaman dalam penggunaan senjata maka kuffar akan berhenti daripada memerangi umat Islam. Ini adalah kerana api permusuhan kuffar terhadap umat Islam tidak pernah padam sehinggalah kita sujud di bawah kaki mereka. Sebagai suatu umat yang bermaruah dan  pilihan maka kita tidak sama sekali tunduk kepada kehendak kuffar sebaliknya kita mesti mengorak langkah dengan seberapa segera untuk kembali bersatu di atas dasar iman dan Islam. Banyak laungan agar umat Islam bersatu tetapi tidak jelas tujuan dan matlamatnya. Adakah umat Islam boleh mengatakan bahawa mereka mesti bersatu atas dasar kebangsaan yang sempit dan menyesatkan. Adakah umat Islam boleh melaungkan kalimah bersatu atas dasar sekularisme yang sesat. Adakah boleh bersatu atas dua dasar yang berlawanan iaitu iman dan kufur. Adakah boleh bersatu atas dua dasar yang bertentangan iaitu Islam dan jahiliah. Jika kita mahu bersatu maka mesti memilih salah satu jalan sahaja iaitu iman dengan menolak kufur, memilih Islam dengan menolak jahiliah serta bersatu kerana Allah bukan keranamu Malaysia. Malaysia insya Allah selamat jika kita berjuang kerana Allah dengan melaksanakan seluruh system Islam dalam negara tetapi ia hancur sebagaimana Iraq dan selainnya jika berjuang atas dasar bangsa dan ideology ciptaan manusia dengan mengenepikan system Islam yang adil.

Firman Allah dalam ayat 4 surah as-Sof :

إن الله يحب الذين يقــتلون فى سبيله صفا كأنهم بنيــن مرصوص

Maksudnya : Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Yakinlah kita bahawa dengan Islam sahaja maka kita mampu meraih kemuliaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jadikanlah diri kita sebagai pejuang agama Allah bukan penentang Islam. Ingatlah bahawa kita bukan orang pertama dan terakhir yang memperjuangkan Islam sebaliknya kita ialah rantaian kepada perjuangan umat terdahulu dan akan datang. Ingatlah juga bahawa kita bukan orang yang memulakan perjuangan Islam sebaliknya kita adalah penerus dan penyambung kepada tugas yang telah dilakukan oleh para nabi dan rasul serta pejuang Islam sebelum ini. Tiada erti letih dalam berjuang jika kita yakin bahawa perjuangan Islam adalah suci sebaliknya kuffar dan golongan munafik lebih letih menentang pejuang Islam kerana mereka berjuang untuk mendapat habuan dunia berbentuk takhta dan harta.

            Ingatlah firman Allah   ayat 14 surah as-Sof :

يــأيهاالذين ءامنوا كونوا أنصار الله كما قال عيسى ابن مريم للحواريـــن من أنصارى إلى الله قال الحواريون نحن أنصار الله فـئامنت طائفة من بني إسرائيل وكفرت طائفة فأيدنا الذين ءامنوا على عدوهم فأصبحوا ظــهرين

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika dia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

 (Khutbah Jumaat)

- 0 comments

Pertahankan Al-Quds


Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  1 surah al-Isra’ yang bermaksud : Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Kini hampir seminggu kita berada di bulan Sya’aban yang disifatkan oleh nabi Muhammad s.a.w sebagai bulan baginda yang mempunyai banyak kelebihannya jika kita penuhi dengan puasa sunat dan amalan soleh yang lain. Belum terlewat pada hari ini untuk kita sama-sama merenungi peristiwa besar iaitu Isra’ dan Mikraj yang berlaku pada bulan Rejab yang sahaja meninggalkan kita terutama hampir setiap hari media massa menayangkan bagaimana kezaliman dan pembunuhan kejam oleh Yahudi yang terus berlangsung di Palestin iaitu bumi yang terletaknya Masjid Aqsa yang merupakan masjid yang menjadi tempat persinggahan nabi sebelum mikraj ke Sidratul Muntaha. 

Melalui ayat tadi dapatlah kita mengambil iktibar bagaimana pentingnya masjid di mana perjalanan nabi sebagai tetamu Allah pada malam Isra’ Mikraj bermula dari masjidil Haram di Mekah dan singgah sebentar di masjid Aqsa di Palestin. Begitu juga dalam peristiwa hijrah di mana Rasulullah s.a.w telah membina masjid Quba’ sebelum membina masjid Nabawi ketika tiba di Madinah dalam memastikan syiar Islam dan ikatan antara hamba dengan Allah dapat disemai sehingga membangkitkan semangat jihad dan kesatuan hati sesama manusia dalam menghadapi sebarang cabaran dan tentangan samada daripada manusia atau pun syaitan. Memandangkan kepada pentingnya peranan masjid maka marilah kita sama-sama memakmurkannya dengan sentiasa solat berjemaah dan juga menghidupkannya dengan majlis ilmu dicelah-celah ada pihak yang cuba menghalang masjid daripada dimakmurkan atas alasan tiada permit dan sebagainya.


Disamping itu kita juga mesti bersemangat dalam mempertahankan masjid Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat Islam yang kini cuba diruntuhkan oleh Yahudi laknatullah. Mereka mendakwa bahawa dibawah bangunan masjid Aqsa terdapat kerangka bangunan Kerajaan Nabi Sulaiman yang menyebabkan mereka cubameruntuhkan masjid Aqsa dengan pelbagai cara di antaranya dengan menggali terowong dibawah masjid Aqsa di mana dengan cara ini apabila berlakunya banjir atau hujan lebat akan menyebabkan tanah dibawah masjid Aqsa akan mendap dan ia menyebabkan masjid Aqsa akan runtuh. Di atas runtuhan masjid Aqsa nanti akan didirikan bangunan Kerajaan nabi Sulaiman sebagaimana  dakwaan sesat mereka.

Yahudi juga cuba mengelirukan umat Islam tentang bangunan masjid Aqsa yang sebenar di mana mereka sentiasa membesar-besar Kubah Sukhra’ iaitu bangunan yang kubahnya berwarna kuning dibuat daripada emas oleh kerajaan Jordan. Bangunan tersebut terletak di hadapan masjid Aqsa yang berkubah hijau di mana dalam bangunan ini terdapat batu tergantung yang cuba mengikut nabi ketika mikraj ke sidratul muntaha bersama-sama malaikat Jibril. Dengan cara mengelirukan kedudukan masjid Aqsa yang sebenar, yahudi berpendapat umat Islam akan bersungguh-sungguh menjaga bangunan yang berkubah kuning itu yang membolehkan mereka dengan mudah meruntuhkan masjid Aqsa. Walau bagaimana pun usaha jahat musuh Islam dalam meruntuhkan masjid Aqsa namun usaha mereka tetap digagalkan oleh Allah. Berkumpulnya yahudi sedunia di bumi Palestin hanya menunggu masa untuk dihancurkan oleh Allah melalui umat Islam yang berani bukannya umat arab yang bacul dan pengecut.




Sidang Jumaat yang dikasihi,

 Dalam perjalanan menemui Allah, Rasulullah s.a.w bersama Jibril telah melalui 7 lapisan langit sebelum diangkat ke sidratul muntaha. Ketika ingin melalui langit pertama baginda bertemu dengan nabi Adam, dilangit kedua bertemu dengan nabi Yahya dan nabi Isa, ketika dilangit ketika berjumpa dengan nabi Yusuf, semasa melalui langit keempat bertemu dengan nabi Idris, dilangit kelima bertemu dengan nabi Harun. Semasa bertemu dengan nabi-nabi tersebut, nabi telah memberi salam kepada mereka dan disambut salamnya serta disebut-sebut kenabiannya. Ketika berada dilangit keenam baginda bertemu dengan nabi Musa di mana didapati nabi Musa menangis. Apabila ditanya lalu nabi Musa menjawab bahawa dia menangis kerana seorang pemuda yang dibangkitkan selepasnya (nabi Muhammad) di mana umat nabi itu paling ramai memasuki syurga berbanding umatnya. Selepas itu nabi Muhammad s.a.w diangkat ke sidratul muntaha. 

 Ketika berada di Sidratul muntaha, Jibril telah memberitahu nabi tentangnya dan menjelaskan tentang 4 batang sungai iaitu dua yang batin yang merupakan sungai di Syurga manakala 2 yang baki dan zahir ialah Sungai Nil yang meliputi beberapa negara termasuk Mesir dan juga Sungai Furat yang menjadi sumber kepada beberapa negara termasuk Syria. Ini memberitahu kepada nabi bahawa dakwahnya mula subur dan tersebar di Semenanjung tanah arab yang terletak antara Sungai Nil dan Furat.

 Selepas itu nabi berada di Baitu Makmur di mana Jibril membawa datang bekas minuman yang berisi arak, susu dan madu lalu nabi memilih minuman susu. Jibril mengatakan itulah fitrah di mana nabi dan umatnya akan mengikutinya.

Siang Jumaat yang dikasihi,

 Ketika bertemu Allah pada mulanya difardhukan solat sebanyak 50 waktu. Selepas menerima kewajipan ini lalu Rasulullah s.a.w ingin beredar dari situ. Ketika bertemu dengan nabi Musa dalam perjalanan lalu baginda menasihatkan supaya nabi Muhammad s.a.w meminta agar Allah mengurangkan bebanan itu. Begitulah yang berlaku sehinggalah Allah meringankan kewajipan kepada 5 waktu sehari semalam dan ketika nabi Musa menyuruh nabi Muhammad menemui lagi Allah agar diringankan lagi kewajipan itu kerana umatnya dahulu walau pun hanya difardhukan lebih sedikit daripada yang difardhukan ke atas umat nabi Muhammad s.a.w namun bani Israel tidak mampu melakukannya tetapi nabi enggan berbuat demikian kerana terlalu malu kepada Allah. Kemudian terdengar suara yang memanggil menyatakan bahawa laksanakanlah segala kewajipan iaitu solat  5 waktu di mana telah diringankan bebanannya kepada hamba-hamba Allah daripada 50 waktu kepada 5 waktu.

 Kemudian Rasulullah s.a.w dibawa melawat Syurga di mana dapat dilihat segala keindahannya. Seterusnya nabi dibawa melihat neraka di mana antara perkara yang dilihat oleh baginda ialah sekumpulan manusia yang perutnya begitu besar sehingga mereka tidak mampu untuk mengubah kedudukan mereka. Jibril menjelaskan bahawa itulah mereka yang mengamalkan riba yang mana ia mengingatkan kita bagaimana azabnya mereka yang suka mengamalkan riba semasa di dunia. Dunia pada hari ini dari segi ekonominya telah dimanopoli oleh Yahudi yang sememangnya mengamalkan amalan riba dengan orang lain tetapi mengharamkan riba sesama yahudi. Kita walau pun berada di negara yang tertera dalam perlembagaannya Islam sebagai agama rasmi tetapi turut bergelumang dengan riba kerana pemimpinnya yang jahil dan hanya mengejar kebendaan sahaja.

 Nabi juga melihat bagaimana sekumpulan lelaki di mana terdapat pada tangan mereka daging yang bagus dan segar disamping daging yang busuk dan rosak tetapi mereka tetap makan daging yang busuk itu. Jibril memberitahu bahawa mereka merupakan orang yang mempunyai isteri yang baik tetapi tetap melakukan zina dengan perempuan lain. Inilah antara azab bagi mereka yang berzina di mana kita di negara ini turut merasai balanya dengan serangan penyakit AIDS yang terus merebak termasuk kepada mereka yang tidak terlibat dengan perbuatan yang tidak bermaruah itu seperti yang terkena kepada 2 orang ibu yang dijangkiti AIDS melalui perdermaan darah. Malah disebuah negeri dalam negara kita telah disyorkan oleh muftinya agar pasangan ingin berkahwin diperiksa terlebih dahulu samada dia dijangkiti AIDS atau pun tidak. Inilah bahayanya apabila rakyat hanya diberitahu tentang bahayanya AIDS bukannya diberi penjelasan tentang bahayanya zina disamping menghukum penzina dengan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah bukannya dengan hukuman ciptaan manusia.
 
Rasulullah s.a.w turut melihat sekumpulan wanita yang diikat buah dadanya di mana Jibril menjelaskan bahawa mereka adalah wanita yang bergaul bebas dengan lelaki yang bukan mahramnya. Sebab itulah Islam banyak menekankan tentang garisan yang sepatutnya dijaga oleh kaum wanita semasa berada di luar rumah samada berkerja atau pun urusan lain dalam menjaga kehormatan dan maruah mereka daripada tercemar.
 
Firman Allah dalam ayat 130 - 131 surah Ali- Imran  yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu beroleh keuntungan.
 

Renungilah firman Allah dalam ayat 286 surah al-Baqarah yang bermaksud : Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat ganjaran kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami!Janganlah Engkau bebankan ke atas kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan ke atas kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu bantulah kami dalam mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kufur.
 
Inilah ia penutup surah al-Baqarah yang diriwayatkan diterima oleh nabi semasa bertemu Allah dalam peristiwa Isra’ Mikraj. Disamping itu Allah menganugerahkan keampunan kepada umat nabi Muhammad walau sebesar mana pun dosanya melainkan syirik kepada Allah. 2 perkara ini merupakan anugerah Allah kepada nabi Muhammad s.a.w dan seluruh umat akhir zaman yang telah diterima oleh nabi pada malam isra’ mikraj disamping kewajipan solat 5 waktu.

(Khutbah Jumaat)

Powered By Blogger