Wednesday, October 15, 2008 - 0 comments

Pertahankan Al-Quds


Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.  

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat  1 surah al-Isra’ yang bermaksud : Maha suci Allah yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Kini hampir seminggu kita berada di bulan Sya’aban yang disifatkan oleh nabi Muhammad s.a.w sebagai bulan baginda yang mempunyai banyak kelebihannya jika kita penuhi dengan puasa sunat dan amalan soleh yang lain. Belum terlewat pada hari ini untuk kita sama-sama merenungi peristiwa besar iaitu Isra’ dan Mikraj yang berlaku pada bulan Rejab yang sahaja meninggalkan kita terutama hampir setiap hari media massa menayangkan bagaimana kezaliman dan pembunuhan kejam oleh Yahudi yang terus berlangsung di Palestin iaitu bumi yang terletaknya Masjid Aqsa yang merupakan masjid yang menjadi tempat persinggahan nabi sebelum mikraj ke Sidratul Muntaha. 

Melalui ayat tadi dapatlah kita mengambil iktibar bagaimana pentingnya masjid di mana perjalanan nabi sebagai tetamu Allah pada malam Isra’ Mikraj bermula dari masjidil Haram di Mekah dan singgah sebentar di masjid Aqsa di Palestin. Begitu juga dalam peristiwa hijrah di mana Rasulullah s.a.w telah membina masjid Quba’ sebelum membina masjid Nabawi ketika tiba di Madinah dalam memastikan syiar Islam dan ikatan antara hamba dengan Allah dapat disemai sehingga membangkitkan semangat jihad dan kesatuan hati sesama manusia dalam menghadapi sebarang cabaran dan tentangan samada daripada manusia atau pun syaitan. Memandangkan kepada pentingnya peranan masjid maka marilah kita sama-sama memakmurkannya dengan sentiasa solat berjemaah dan juga menghidupkannya dengan majlis ilmu dicelah-celah ada pihak yang cuba menghalang masjid daripada dimakmurkan atas alasan tiada permit dan sebagainya.


Disamping itu kita juga mesti bersemangat dalam mempertahankan masjid Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat Islam yang kini cuba diruntuhkan oleh Yahudi laknatullah. Mereka mendakwa bahawa dibawah bangunan masjid Aqsa terdapat kerangka bangunan Kerajaan Nabi Sulaiman yang menyebabkan mereka cubameruntuhkan masjid Aqsa dengan pelbagai cara di antaranya dengan menggali terowong dibawah masjid Aqsa di mana dengan cara ini apabila berlakunya banjir atau hujan lebat akan menyebabkan tanah dibawah masjid Aqsa akan mendap dan ia menyebabkan masjid Aqsa akan runtuh. Di atas runtuhan masjid Aqsa nanti akan didirikan bangunan Kerajaan nabi Sulaiman sebagaimana  dakwaan sesat mereka.

Yahudi juga cuba mengelirukan umat Islam tentang bangunan masjid Aqsa yang sebenar di mana mereka sentiasa membesar-besar Kubah Sukhra’ iaitu bangunan yang kubahnya berwarna kuning dibuat daripada emas oleh kerajaan Jordan. Bangunan tersebut terletak di hadapan masjid Aqsa yang berkubah hijau di mana dalam bangunan ini terdapat batu tergantung yang cuba mengikut nabi ketika mikraj ke sidratul muntaha bersama-sama malaikat Jibril. Dengan cara mengelirukan kedudukan masjid Aqsa yang sebenar, yahudi berpendapat umat Islam akan bersungguh-sungguh menjaga bangunan yang berkubah kuning itu yang membolehkan mereka dengan mudah meruntuhkan masjid Aqsa. Walau bagaimana pun usaha jahat musuh Islam dalam meruntuhkan masjid Aqsa namun usaha mereka tetap digagalkan oleh Allah. Berkumpulnya yahudi sedunia di bumi Palestin hanya menunggu masa untuk dihancurkan oleh Allah melalui umat Islam yang berani bukannya umat arab yang bacul dan pengecut.




Sidang Jumaat yang dikasihi,

 Dalam perjalanan menemui Allah, Rasulullah s.a.w bersama Jibril telah melalui 7 lapisan langit sebelum diangkat ke sidratul muntaha. Ketika ingin melalui langit pertama baginda bertemu dengan nabi Adam, dilangit kedua bertemu dengan nabi Yahya dan nabi Isa, ketika dilangit ketika berjumpa dengan nabi Yusuf, semasa melalui langit keempat bertemu dengan nabi Idris, dilangit kelima bertemu dengan nabi Harun. Semasa bertemu dengan nabi-nabi tersebut, nabi telah memberi salam kepada mereka dan disambut salamnya serta disebut-sebut kenabiannya. Ketika berada dilangit keenam baginda bertemu dengan nabi Musa di mana didapati nabi Musa menangis. Apabila ditanya lalu nabi Musa menjawab bahawa dia menangis kerana seorang pemuda yang dibangkitkan selepasnya (nabi Muhammad) di mana umat nabi itu paling ramai memasuki syurga berbanding umatnya. Selepas itu nabi Muhammad s.a.w diangkat ke sidratul muntaha. 

 Ketika berada di Sidratul muntaha, Jibril telah memberitahu nabi tentangnya dan menjelaskan tentang 4 batang sungai iaitu dua yang batin yang merupakan sungai di Syurga manakala 2 yang baki dan zahir ialah Sungai Nil yang meliputi beberapa negara termasuk Mesir dan juga Sungai Furat yang menjadi sumber kepada beberapa negara termasuk Syria. Ini memberitahu kepada nabi bahawa dakwahnya mula subur dan tersebar di Semenanjung tanah arab yang terletak antara Sungai Nil dan Furat.

 Selepas itu nabi berada di Baitu Makmur di mana Jibril membawa datang bekas minuman yang berisi arak, susu dan madu lalu nabi memilih minuman susu. Jibril mengatakan itulah fitrah di mana nabi dan umatnya akan mengikutinya.

Siang Jumaat yang dikasihi,

 Ketika bertemu Allah pada mulanya difardhukan solat sebanyak 50 waktu. Selepas menerima kewajipan ini lalu Rasulullah s.a.w ingin beredar dari situ. Ketika bertemu dengan nabi Musa dalam perjalanan lalu baginda menasihatkan supaya nabi Muhammad s.a.w meminta agar Allah mengurangkan bebanan itu. Begitulah yang berlaku sehinggalah Allah meringankan kewajipan kepada 5 waktu sehari semalam dan ketika nabi Musa menyuruh nabi Muhammad menemui lagi Allah agar diringankan lagi kewajipan itu kerana umatnya dahulu walau pun hanya difardhukan lebih sedikit daripada yang difardhukan ke atas umat nabi Muhammad s.a.w namun bani Israel tidak mampu melakukannya tetapi nabi enggan berbuat demikian kerana terlalu malu kepada Allah. Kemudian terdengar suara yang memanggil menyatakan bahawa laksanakanlah segala kewajipan iaitu solat  5 waktu di mana telah diringankan bebanannya kepada hamba-hamba Allah daripada 50 waktu kepada 5 waktu.

 Kemudian Rasulullah s.a.w dibawa melawat Syurga di mana dapat dilihat segala keindahannya. Seterusnya nabi dibawa melihat neraka di mana antara perkara yang dilihat oleh baginda ialah sekumpulan manusia yang perutnya begitu besar sehingga mereka tidak mampu untuk mengubah kedudukan mereka. Jibril menjelaskan bahawa itulah mereka yang mengamalkan riba yang mana ia mengingatkan kita bagaimana azabnya mereka yang suka mengamalkan riba semasa di dunia. Dunia pada hari ini dari segi ekonominya telah dimanopoli oleh Yahudi yang sememangnya mengamalkan amalan riba dengan orang lain tetapi mengharamkan riba sesama yahudi. Kita walau pun berada di negara yang tertera dalam perlembagaannya Islam sebagai agama rasmi tetapi turut bergelumang dengan riba kerana pemimpinnya yang jahil dan hanya mengejar kebendaan sahaja.

 Nabi juga melihat bagaimana sekumpulan lelaki di mana terdapat pada tangan mereka daging yang bagus dan segar disamping daging yang busuk dan rosak tetapi mereka tetap makan daging yang busuk itu. Jibril memberitahu bahawa mereka merupakan orang yang mempunyai isteri yang baik tetapi tetap melakukan zina dengan perempuan lain. Inilah antara azab bagi mereka yang berzina di mana kita di negara ini turut merasai balanya dengan serangan penyakit AIDS yang terus merebak termasuk kepada mereka yang tidak terlibat dengan perbuatan yang tidak bermaruah itu seperti yang terkena kepada 2 orang ibu yang dijangkiti AIDS melalui perdermaan darah. Malah disebuah negeri dalam negara kita telah disyorkan oleh muftinya agar pasangan ingin berkahwin diperiksa terlebih dahulu samada dia dijangkiti AIDS atau pun tidak. Inilah bahayanya apabila rakyat hanya diberitahu tentang bahayanya AIDS bukannya diberi penjelasan tentang bahayanya zina disamping menghukum penzina dengan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah bukannya dengan hukuman ciptaan manusia.
 
Rasulullah s.a.w turut melihat sekumpulan wanita yang diikat buah dadanya di mana Jibril menjelaskan bahawa mereka adalah wanita yang bergaul bebas dengan lelaki yang bukan mahramnya. Sebab itulah Islam banyak menekankan tentang garisan yang sepatutnya dijaga oleh kaum wanita semasa berada di luar rumah samada berkerja atau pun urusan lain dalam menjaga kehormatan dan maruah mereka daripada tercemar.
 
Firman Allah dalam ayat 130 - 131 surah Ali- Imran  yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu beroleh keuntungan.
 

Renungilah firman Allah dalam ayat 286 surah al-Baqarah yang bermaksud : Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat ganjaran kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami!Janganlah Engkau bebankan ke atas kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan ke atas kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu bantulah kami dalam mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kufur.
 
Inilah ia penutup surah al-Baqarah yang diriwayatkan diterima oleh nabi semasa bertemu Allah dalam peristiwa Isra’ Mikraj. Disamping itu Allah menganugerahkan keampunan kepada umat nabi Muhammad walau sebesar mana pun dosanya melainkan syirik kepada Allah. 2 perkara ini merupakan anugerah Allah kepada nabi Muhammad s.a.w dan seluruh umat akhir zaman yang telah diterima oleh nabi pada malam isra’ mikraj disamping kewajipan solat 5 waktu.

(Khutbah Jumaat)

0 comments: